Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 5 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang sentiasa cakna terhadap kebajikan dengan mewujudkan inisiatif-inisiatif khas seperti peruntukan subsidi untuk rakyat di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri kekal komited dalam memastikan keperluan asas rakyat seperti beras sentiasa mencukupi.
“Subsidi beras bukan satu perkara yang baru, sebelum ini pun kerajaan negeri ada memberi bantuan subsidi kepada penduduk-penduduk Tioman yang berulang-alik menggunakan feri dimana kita memberi diskaun sebanyak 50 peratus, jadi ini ialah perkara biasa.
“Kita semua tahu bahawa beras adalah makanan keselamatan dan kita tahu ketika ini ada sedikit yang mengatakan bekalan di pasaran agak kurang jadi oleh sebab itulah kerajaan negeri tampil kedepan dan kita membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4 Tahun 2023, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang dan Fajar Majestic Sdn Bhd Majlis Pelancaran dan Jualan Beras Makmur bertempat di Dataran Simpang Pelangai, Bentong.
Turut hadir ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohamad Sharkar Haji Shamsuddin; barisan kepimpinan Exco Kerajaan Negeri Pahang serta ketua-ketua jabatan.
Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan satu projek penanaman padi yang melibatkan keluasan kira-kira 502 hektar di Kampung Merchong, Mukim Bebar, Pekan.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kesungguhan kerajaan negeri dalam membantu mengurangkan masalah kekurangan bekalan beras yang melanda di Malaysia dan dunia kebelakangan ini.
“Ini jelas menunjukkan bahawa kita di Negeri Pahang ini setiap masa kita memikirkan bagaimana untuk membawa kemajuan kepada negeri dan juga kepada rakyat, jadi saya percaya dengan adanya kerjasama dengan Fajar Majestic Sdn. Bhd tadi jelas membuktikan bahawa kita juga terlibat dalam usaha untuk menjaga sekuriti makanan di negara ini,” ujarnya. – PAHANGMEDIA

