Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 04 OKTOBER 2023 : Sokongan pengundi kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai semakin meningkat dengan bantuan daripada Mantan Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai selama lapan penggal dari 1986 hingga 2022 ini merupakan nilai tambah kepada calon, Dato’ Amizar Abu Adam.
“Semakin hari semakin meningkat, jadi bila ada Tan Sri Long Nan turun kempen, ada nilai tambah sebab beliau wakil rakyat kawasan ini dan Menteri Besar selama 19 tahun.
“Banyak jasa beliau di Pelangai ini. Jadi ada nilai tambah untuk ADUN Pelangai,” katanya ketika ditemui pada Penutup Program Keusahawanan Tunjang Masa Depan Koperasi, Pemangkin Ekonomi Negeri Angkasa Negeri Pahang III (Barat) di Dewan Agropolitan Chemomoi hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan Presiden ANGKASA, YBhg. Datuk Seri Dr. Haji Abdul Fattah Haji Abdullah.
Beliau berkata sikap pihak pembangkang yang mengamalkan kempen secara tidak sihat perlu ditolak oleh pengundi DUN Pelangai pada pilihan raya kali ini.
“Lebih lagi kenyataan Tan Sri Muhyiddin kepada berbaur fitnah yang dinafikan oleh kesemua ADUN secara terbuka, secara live (langsung), bukan melalui wakil (ADUN).
“Dan ini jelas mengesahkan ramai orang menyatakan mereka ini suka menimbulkan persepsi, sentimen, dan membuat cerita yang tidak betul untuk mengelirukan rakyat. Jadi kita harus tolak mereka,” katanya.
Mengulas berkenaan manifesto calon Barisan Nasional, beliau berkata berkhidmat kepada rakyat merupakan manifesto utama seperti mana yang sedang dilakukan kini.
“Manifesto kita berkhidmat untuk rakyat, macam yang kita buat sekarang. Naratif apa yang Kerajaan Negeri buat, itulah manifesto kita,” katanya. – PAHANGMEDIA

