Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUALA LUMPUR, 03 OKTOBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP).
Memorandum ini melibatkan kerjasama di antara Kerajaan Negeri Pahang, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Pahang Skills Development Center (Pahang Skills).
Perjanjian ini ditandatangani oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob dan disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin yang mewakili Kerajaan Pahang, manakala Pahang Skill di wakili Pengarah Eksekutifnya, Encik Mohd Yusri Mohd Nor, disaksikan oleh Tuan Haji A Rahim Omar, dan Dato Mas’ut Awang Samah sebagai pemerhati.
Sementara itu, UMPSA diwakili oleh Naib Canselornya, Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin, disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, YBhg. M Tan Sri Dato Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Menerusi MoU ini AMMP akan berperanan sebagai Pusat Pembelajaran yang menawarkan program diploma, sijil, latihan, kursus pendek, dan perkhidmatan teknikal berasaskan mineral.
Selain itu, ia juga akan menjadi pusat sehenti bagi membekalkan maklumat pembangunan mineral untuk Negeri Pahang khususnya dan negara amnya.
AMMP merangkumi beberapa komponen iaitu pusat pendidikan, latihan dan penyelidikan yang dapat membangunkan teknologi baharu dan menghasilkan tenaga kerja mahir dalam bidang mineral.
Mengikut perancangan, sebuah kampus sementara AMMP akan dimulakan di Lipis Centrepoint, Lipis dan sebuah kampus induk akan dibangunkan di Bandar Baharu Kuala Lipis (BBKL) 3.0, Mukim Gua, Lipis yang dijangka diselesaikan dalam tempoh selewatnya tiga tahun.
AMMP ini melibatkan kerjasama di antara tiga agensi iaitu, Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus, Pahang Skills sebagai peneraju dan dibantu oleh pihak UMPSA selaku perunding.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. -PAHANGMEDIA

