Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Najmuddin Zahid
BENTONG, 02 OKTOBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang menganjurkan Fit Pahang bagi meningkatkan kesedaran rakyat di negeri ini berkenaan kesihatan diri.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata program ini merupakan kesinambungan daripada Fit Malaysia yang dijalankan baru-baru ini.
“Sebenarnya pelaksanaan program Fit Pahang ini adalah untuk memastikan rakyat kita sedar bahawa kepentingan menjaga kesihatan itu perlu diutamakan di setiap peringkat umur.
“Ia berkesinambungan dengan Fit Malaysia di Stadium Darul Makmur sebelum ini dan kalau boleh saya nak turun ke daerah-daerah di Pahang untuk mempromosi Fit Pahang.
“Ini kali pertama Fit Pahang dilaksanakan, sebelum ini kita buat Fit Malaysia, Fit Pahang ini first time kerana kita tengok sambutan yang cukup menggalakkan dan saya rasa boleh kita bawa ke daerah-daerah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jelajah Fit Pahang 2023 di Padang SK Pelangai, Kampung Jawi-jawi di sini.
Beliau berkata aktiviti yang dilaksanakan di Fit Pahang kemungkinan berbeza bergantung kepada fasiliti di kawasan penganjuran program berkenaan.
“Macam hari ni kita lebih kepada acara-acara santai seperti sukan rakyat, yang boleh dibuat di padang ini. Kalau di kawasan lebih besar, macam-macam acara lagi boleh dibuat macam program di Fit Malaysia yang sebelum ini kita jalankan di perkarangan Stadium Darul Makmur,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan penyertaan pelbagai peringkat usia di program Fit Pahang hari ini.
“Yang penting rakyat setiap lapisan ini terlibat secara proaktif. Yang saya suka tadi, yang berusia sikit pun join juga program ini dan itulah hasrat kita,” katanya,
Beliau dalam masa sama, turut melahirkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang berkenaan penambahbaikan fasiliti sukan di kawasan Pelangai.
“Saya ingat kena ditambahbaik juga beberapa kawasan tertentu dan yang lagi penting sebenarnya minat masyarakat Pelangai terhadap sukan tinggi. Cuma kadang-kadang ada kemudahan yang kita kena tambahbaik.
“Saya sebenarnya dalam beberapa hari ini telah menerima banyak permohonan daripada penduduk di Pelangai ini dan saya akan tengok satu persatu yang mana perlu ditambahbaik kita akan tambahbaik.
“Antaranya gelanggang futsal yang boleh ditambahbaik agar masyarakat boleh bermain pada waktu malam misalnya, jaring-jaring di sekitar gelanggang yang mungkin perlu dibaiki,” katanya. -PAHANGMEDIA

