Oleh : Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 29 SEPTEMBER 2023 : Konsep ‘Ikhtiar Pelangai’ yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai dilihat amat bertepatan untuk diketengahkan di kawasan tersebut.
Calon BN DUN Pelangai, Dato’ Amizar Abu Adam menyifatkan konsep tersebut sesuai digunakan sepanjang tempoh berkempen kerana semangat perpaduan perlu sentiasa dititikberatkan.
“Hari ini dah masuk hari ketujuh (berkempen), saya masih menekankan konsep “Ikhtiar Pelangai”, kita letakkan elemen tambahannya salah satunya kita punya konsep ialah 3K (Kebersamaan, Kejayaan, Keberkatan), seperti kita tengok hari ini ada kebersamaan dalam kampung, maka akan wujudnya kejayaan dan yang paling penting kita nak ialah keberkatan.

“Kita juga mengamalkan 3P (Penempatan, Pendidikan, Pekerjaan), ini antara elemen yang perlu letakkan selalu,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih dan Sesi Ramah Mesra bersama penduduk Kampung Bukit Gajah, di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, pengundi di kawasan tersebut perlu membuat pilihan yang bijak dalam memilih calon yang tepat demi kesejahteraan penduduk Pelangai itu sendiri.
“Pengundi di DUN Pelangai ini perlu faham bahawasanya pilihlah calon yang betul-betul boleh membawa suara rakyat, bukan fikir yang beradu domba, itu tak baik ini tak baik, sedangkan kita mahu kampung kita dan penduduk Pelangai ini lebih baik dari sebelum ini, sebelum ini dah baik dah, kita nak tambah nilai.
“Saya masih lagi mengamalkan ataupun ingin menyambung legasi Allahyarham Dato’ Sri Johari, ini yang paling penting dan kita akan tambah nilai serba sedikitlah, dari segi apa kekurangan dan apa yang tidak lengkap lagi,” tambahnya lagi. – PAHANGMEDIA

