BENTONG, 29 SEPTEMBER 2023 : Pembangkang dilihat hanya mampu membawa isu-isu remeh sepanjang kempen mereka di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai kerana mereka tahu pencapaian dan prestasi cemerlang Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, prestasi cemerlang Kerajaan Pahang ini menyebabkan mereka membawa isu-isu remah yang sepatutnya tidak dibawa ke PRK DUN Pelangai.
“Nampak sangat pembangkang tak mampu nak ulas dari segi prestasi pencapaian cemerlang, urus takbir yang cukup baik Negeri Pahang ini di bawah kepimpinan Menteri Besar. Jadi mereka ulas isu-isu remeh ini.
“Saya nak ingatkan, jangan politikkan isu-isu sebegini dan jangan di musim pilihan raya ini, melaga-lagakan dan mengelirukan rakyat. Kerana kesannya kepada rakyat, Pahang ini dah cukup harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Tanah Pahang peringkat Daerah Bentong di Majlis Perbandaran Bentong di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan kononnya Menteri Besar Pahang meminta perantau supaya tidak pulang mengundi pada PRK Pelangai jika tidak mengundi calon Barisan Nasional, beliau berkata, itu hanyalah seloroh.
“Saya sebenarnya berada di tempat kejadian masa ceramah itu, jelas yang Menteri Besar hanya seloroh sahaja. Maklumlah jumpa rakyat dalam keadaan santai, itulah yang diucapkan.
“Selepas ceramah itu pihak media ada bertemu Menteri Besar minta jelaskan apa yang diucapkan itu, sekali lagi Menteri Besar jelaskan bahawa itu adalah seloroh dengan orang kampung.
“Jadi tak perlu isu-isu yang seperti ini dimainkan oleh pihak pembangkang apa yang lagi penting adalah agenda kebajikan untuk rakyat,” katanya. – PAHANGMEDIA

