Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 29 SEPTEMBER 2023 : “Itu khabar angin sahaja, jangan dengar. Saya ini orang parti, dipanggil datang, disuruh pergi,” ulas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang berkenaan desas desus namanya tersenarai dalam barisan kabinet yang akan dibentuk.
YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau tidak mengambil serius berkaitan perkara ini kerana lebih memfokuskan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai.
“Itu khabar angin sahaja jangan dengar. Dan saya ini orang parti, dipanggil datang, disuruh pergi. Tapi yang keluar surat khabar hari ni tu khabar-khabar angin je. Bukan sahih pun. PM pun dah berkata dia pun sedang mempertimbangkan.
“Jadi sekarang ini kita fokus kepada PRK Pelangai. Saya tak tahu apa tujuan mereka, masa ini nak keluar kenyataan-kenyataan macam itu. Sedangkan kita sekarang ini sedang menghadapi pilihan raya di Pelangai,” katanya.
Katanya, beliau hanya ingin menumpukan kepada PRK Pelangai buat masa ini dan tetap menghormati sebarang keputusan yang dikeluarkan oleh Barisan Nasional.
“Saya tak fikir secara serius. Saya anggap itu khabar-khabar angin sahaja, saya tak fikir secara serius sebab saya nak tumpu kepada PRK Pelangai. Orang nak tulis apa, tulislah.
“Saya tahu penulisan (yang diterbitkan) nak ambil perhatian pembaca tapi sekarang ini saya nak fokus kepada PRK Pelangai.
“Tapi saya orang parti. Saya bertanding pun sebab parti. Saya jadi MB pun sebab parti. Dipanggil datang, disuruh pergi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kemungkinan berlaku penyusunan semula Kabinet dalam masa terdekat, dengan beberapa menteri diramal digugurkan dan dakwaan rombakan itu hanya akan dilakukan selepas PRK Pelangai pada 7 Oktober ini. -PAHANGMEDIA

