Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 29 SEPTEMBER 2023 : Pemilihan pengganti bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai bukan sesuatu yang rumit kerana pengundi perlu memilih pengganti daripada Barisan Nasional juga.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ia merupakan satu proses biasa untuk mengisi kekosongan kerusi yang ditinggalkan allahyarham Dato’ Sri Johari Harun.
“Dan pemilihan pada kali ini bukannya satu perkara yang rumit bagi saya, sebab kita cuma menggantikan calon kita, Barisan Nasional, UMNO yang meninggalkan kita selama-lamanya, takdir Allah.
“Itu adalah proses biasa yang perlu kita adakan pilihan raya dan perlu kita gantikan beliau dengan calon daripada BN, UMNO juga.
“Jadi saya harap pengundi membuat keputusan yang tepat dan kalau boleh jangan fikir banyaklah. Sebab kita nak teruskan usaha-usaha pembangunan, kesinambungan untuk penduduk di Pelangai ini,” katanya.
Menurut beliau, fokus utama beliau sekarang ini adalah kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai dan untuk memastikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional.
“Jadi saya bersama rakan-rakan saya, ahli-ahli parti fokus untuk menghadapi pilihan raya pada 7hb ini dan kita nak calon kita, Dato’ Amizar menang dengan bergaya,” katanya.
Mengulas berkenaan momentum yang ditunjukkan oleh jentera Barisan Nasional dalam tempoh berkempen ini, beliau mengingatkan kesemua pihak untuk tidak mudah berpuas hati buat masa ini.
“Kepuasan ini sebenarnya sehingga 7 Oktober. Dan tujuannya supaya jentera terus bekerja kuat mencari pengundi, jangan berada di dalam zon yang selesa. Jadi dalam perjuangan ini sebelum kita diisytiharkan menang kita jangan rasa puas hati,” katanya. -PAHANGMEDIA

