Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 29 SEPTEMBER 2023 : Tiada isu membeli pengundi perlu ditimbulkan pada program Bantuan Persekolahan Yayasan Bank Rakyat di SMK Seri Pelangai hari ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, program pada hari ini merupakan program biasa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya buat kerja saya sahaja sebagai Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat bersama dengan rakan-rakan exco yang lain.
“Ini adalah program Kerajaan yang kita buat seperti mana biasa jadi secara kebetulan hari ini (program dilaksanakan) di daerah Bentong dan mereka pilih di sini, saya follow sahajalah.
“Yang tak boleh kalau kita pakai baju parti kita bagi duit untuk yang datang. Yang datang ni bukan semuanya pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyerahan Bantuan Persekolahan Yayasan Bank Rakyat di SMK Seri Pelangai hari ini.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPN), Encik Amzan Abd. Malek; dan Ahli Parlimen Bentong, YB. Young Syefura Othman.
Tambah beliau lagi, lokasi bagi program ini dipilih di Pelangai berdasarkan jadual beliau yang banyak di kawasan Pelangai dan Bentong kebelakangan ini.
“Saya hanya menerima jemputan sebab mereka tahu saya banyak berada di Bentong, Pelangai dalam masa terdekat ini. Jadi mereka pilih di sini.
“Kalau tidak mungkin saya tidak dapat hadir. Jadi Yayasan Bank Rakyat nak saya hadir, mereka memilih mengikut kesesuaian masa sayasaya,” katanya.
Seramai 400 pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah menerima bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat sebanyak RM100 seorang bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan serta membeli peralatan persekolahan. -PAHANGMEDIA

