Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 28 SEPTEMBER 2023 : Pemimpin daripada parti pembangkang yang datang ke negeri Pahang tidak berani menyentuh kredibiliti pentadbiran Kerajaan Negeri.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang berkata ini kerana mereka tahu pencapaian Kerajaan Negeri Pahang.
“Sebab dalam hidup kita ini dalam apa jua keadaan, dalam korporat, nak bagi bonus dan sebagainya kena lihat prestasi, kita bukan lihat pada persepsi. Bukan kalau kita suka dia, kita bagi dia naik pangkat, kita bagi dia bonus.
“Tapi mereka cakap untuk mewujudkan persepsi, fitnah, sentimen, supaya kita beralih arah kepada mereka. Sepatutnya kita sebagai pengundi, sebagai rakyat, kita melihat prestasi Kerajaan.
“Kalau tuan-tuan dengar, pemimpin-pemimpin mereka datang ke Pelangai tak sentuh pasal Kerajaan Negeri sebab dia tahu kalau dia sentuh Kerajaan Negeri, kita boleh jawab balik, kita jawab dengan angka kerana angka tidak pernah berbohong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sembang Santai Bersama Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan Bersama Penduduk Felda Chemomoi.
Beliau dalam ucapannya turut mengingatkan pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai untuk memilih wakil daripada prestasi dan bukannya persepsi semata-mata. -PAHANGMEDIA

