Oleh : Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 28 SEPTEMBER 2023 : Mantan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Haji Abdul Manan Abdul Rahman, 72, dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul bersempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1445 Hijrah, hari ini.
Penyampaian anugerah berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Dato’ Haji Abdul Manan yang ditemui menzahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas anugerah yang diterima.
“Saya memanjat kesyukuran kepada Allah kerana telah dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Negeri Pahang tahun 2023 ini.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat yang telah menjayakan program Maulidur Rasul tahun ini dan syabas saya ucapkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan mantan Pegawai Daerah Rompin, Jerantut dan Maran berkata keluarganya sering memberikan sokongan terhadapnya sepanjang kerjaya beliau.
“Alhamdulillah keluarga sebenarnya mereka juga macam tak percaya jugalah saya dapat ini (Tokoh Maulidur Rasul), tetapi apabila sudah dijelaskan mereka juga bersyukurlah,” katanya.
Pada majlis sama, baginda turut menyampaikan dua lagi anugerah termasuk Anugerah Daie (Allahyarham Encik Sha’ari Abdul Rahman) dan Anugerah Ummah (Allahyarham Encik Ahmad Raffli Abdul Malek). – PAHANGMEDIA

