Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 27 SEPTEMBER 2023 : Pihak pembangkang menjadikan sentimen agama sebagai modal berkempen bertujuan untuk mempengaruhi pemikiran pengundi terhadap Kerajaan sedia ada.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata demikian ketika mengulas berkenaan isu negeri Islam yang dimainkan oleh pihak pembangkang semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai.
“Pihak pembangkang memainkan sentimen agama sebab mereka tahu di Pelangai lebih kurang 80 peratus adalah pengundi Melayu yang beragama Islam.
“Jadi bagi tujuan untuk memesongkan pemikiran pengundi-pengundi kepada kerajaan yang ada pada hari ini kerana ini kubu kuat Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata sentimen bangsa, agama, dan institusi di Raja (3R) tidak dibenarkan dimainkan kerana ia akan menimbulkan ketidakselesaan terhadap orang ramai.
“Mereka cuba menyentuh isu agama sebab itulah isu 3R ini tidak dibenarkan kerana boleh mewujudkan keadaan yang tidak selesa.
“Sebab negara dan negeri kita ini memiliki masyarakat majmuk. Jadi sentimen melibatkan kaum lain harus kita hormati, perlembagaan kita pun telah menyatakan Islam adalah agama rasmi Pesekutuan tetapi dalam masa yang sama, agama lain boleh dianuti.
“Jadi ini sudah jelas. Apa lagi yang pihak cuba nak mainkan? Mengatakan ini Islamik, tidak Islamik, ini sekular, dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau lagi, semua tomahan ini hanyalah satu cara pihak pembangkang memainkan sentimen dan persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri Pahang.
“Kerana dengan cara itu sahajalah mereka rasa mereka boleh memesongkan pemikiran rakyat dengan cara main sentimen dan mewujudkan persepsi bahawa Kerajaan Pahang yang ada pada hari ini bukanlah sebuah Kerajaan yang seperti mana Kerajaan mereka, negeri mereka.
“Tetapi di Pahang ini Alhamdulillah, pengundinya saya yakin oleh sebab kita dah bagi penerangan jangan terpengaruh dengan sentimen, jangan terpengaruh dengan persepsi kerana mana-mana penilaian pun prestasi menjadi ukuran,” katanya.-PAHANGMEDIA

