Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 26 SEPTEMBER 2023 : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa mana-mana parti politik perlulah menjamin manfaat kepada rakyat bagi menjaga kepentingan mereka.
Ini ditegaskan beliau ketika diminta mengulas berhubung penggunaan sentimen oleh pihak pembangkang yang dapat menggoyahkan sokongan rakyat terhadap BN.
“Di dalam mana-mana parti politik, yang pertama sekali memberi kesejahteraan kepada rakyat, membawa pembangunan kepada rakyat, menjaga keselamatan, kesihatan dan memberi peluang pekerjaan, pembelajaran, itu yang kita hendak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada Karnival Buah-Buahan Daerah Bentong Tahun 2023 bertempat di Dataran Pelangai, Bentong.
Hadir sama ialah Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, barisan Exco Kerajaan Pahang, Ahli Parlimen Bentong, YB Young Syefura Othman dan Pengarah Pertanian Negeri Pahang, Encik Muhd Rizal Baharom.
Tambahnya, semua sentimen ini perlu dibendung bagi mengelakkan rakyat terus terpedaya.
“Kalau tidak dibendung saya bimbang rakyat akan percaya dan terpengaruh, kadang-kadang sentimen prestasi ini menda yang tidak nampak, bila menda tidak nampak dia mudah terpedaya dalam masa terdekat dan dalam masa yang singkat tetapi selepas itu dia akan menyesal balik bila tengok orang yang bercakap pun tidak ada, orang yang dia sokong bila sampai masa tidak dapat menolong, masa itu dah terlewat nak tuggu empat, lima tahun pula, jadi lebih baiklah apa yang ada sekarang ini, stabil, makmur,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini Kerajaan Pahang dapat menguruskan negeri dengan baik dan mengingatkan pengundi DUN Pelangai dapat memilih pemimpin yang tepat bagi meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang oleh Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun.
“kita harap kita menang di Pelangai ini, tetapi sekiranya di sebalik itu tidak memberi kesan kepada Kerajaan Negeri tetapi mungkin memberi kesan kepada penduduk di sinilah kerana mereka memilih wakil yang salah,” katanya. – PAHANGMEDIA

