Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 27 SEPTEMBER 2023 : “Yang penting apa yang dia (calon) boleh buat selepas menang,” itu ulas Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai perlu mengambil kira perkara ini bagi memastikan pembangunan dapat terus dibawa di kawasan ini.
“Jadi kelebihannya adalah kalau beri kepada BN kita boleh kerja terus untuk membawa pembangunan dan bantu rakyat di sini. Tapi kalau pembangkang yang menang dia tak mampu buat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Walkabout Bersama Calon Barisan Nasional di Pekan Sehari dan Sembang Santai Bersama Pengundi di Kedai MARA di Felda Chemomoi hari ini.

Menurut beliau lagi, sebagai parti Kerajaan, isu pembangunan akan terus dijadikan tumpuan ketika berkempen kerana ia dapat ditunaikan oleh Kerajaan.
“Sebagai parti Kerajaan, of course kita akan cakap apa yang kita boleh bagi kepada rakyat dan sebagainya dan kita tahu pembangunan memang merupakan satu perkara yang diperlukan.
“Macam di sini, calon ada dua, dari Chemomoi dua-dua yang bertanding di sini, tapi siapa yang menang dan yang lebih penting apa yang dia boleh buat selepas menang. Kalau parti bukan daripada Barisan Nasional, mereka akan jadi pembangkang. Saya rasa susah nak bawa pembangunan di sini.
“Tapi kalau calon kita menang, Kerajaan Pahang ini adalah di bawah Barisan Nasional dan rakan-rakan yang lain. Jadi maknanya kalau calon kita menang, calon BN menang, dari segi pembangunan, saya rasa dapat diteruskan tak perlu tunggu apa-apa lagi,” katanya.
Beliau berkata para pengundi di sini juga perlu menjadi pengundi yang bijak bagi memastikan calon yang di pilih memberi manfaat kepada masyarakat Pelangai.
“Orang di sini kena memilih, pandai memilih walaupun dua calon itu daripada kampung yang sama, tapi siapa yang boleh membantu rakyat di sini.
“Yang penting calon BN adalah daripada parti Kerajaan. Jadi jangan rugikan undi anda. Dan saya lihat sambutannya memberansangkan, saya harap sambutan yang begitu hebat perlu diterjemahkan kepada undi nanti.
“Yang penting kita undi parti kita. Saya juga dah cakap, yang bertanding ini bukan individu tertentu tapi yang bertanding ini adalah parti,” katanya. -PAHANGMEDIA

