Oleh : Farahin Rosli
BERA, 23 SEPTEMBER 2023 : Calon yang bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai disarankan agar sentiasa mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Polis Pahang, YH. Dato’ Yahaya Othman berkata, garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak SPR haruslah dipatuhi oleh setiap calon yang bertanding demi keselamatan bersama.
“Pihak Ketua Polis Bentong telah memanggil calon-calon yang bertanding dan telah memberikan beberapa fakta peraturan dalam akta pilihanraya yang perlu dipatuhi sepanjang kempen pilihan raya diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Perasmian Jambatan Al-Sultan Abdullah yang dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, di sini hari ini.
Disamping itu, beliau turut meminta setiap calon yang bertanding supaya memohon permit untuk menganjurkan sebarang program yang melibatkan orang ramai.
“Saya nasihatkan semua wakil calon atau pun daripada parti yang bertanding untuk memberitahu atau memohon permit untuk mengadakan ceramah atau rapat umum sepanjang tempoh pilihan raya ini diadakan.
“Dengan adanya permohonan di peringkat awal, kita dapat merancang dan memastikan keselamatan pada semua pihak yang akan mengadakan sebarang aktiviti ketika tempoh berkempen, pihak kami dapat menyediakan keanggotaan dan pegawai untuk memastikan keselamatan mereka semua dalam keadaan terjamin,” tegasnya.
Beliau dalam masa sama berharap agar semua pihak sentiasa berfikiran waras dan tidak melibatkan isu 3R (Race, Religion, Royalty) sepanjang tempoh pilihan raya.
“Saya berharap para penyokong sentiasa memelihara demokrasi untuk mengelakkan berlakunya perkara yang melibatkan ketenteraman awam contohnya seperti dalam ucapan yang diberikan supaya tiada unsur hasutan berlaku dan (sekali gus) keselamatan terjejas.
“Elakkan berkempen melibatkan perkara-perkara sensitif seperti Race, Religion dan Royalty, untuk mengelakkan kegusaran umum,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa tindakan yang sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab merosakkan poster dan bahan kempen parti lain.
Tempoh berkempen bagi PRK N.36 DUN Pelangai telah berlangsung bermula hari ini sehingga 12.00 tengah malam 6 Oktober 2023. – PAHANGMEDIA

