Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 22 SEPTEMBER 2023 : Projek Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’ Rasa) memperuntukkan sebanyak 178 unit rumah percuma akan dibina di seluruh Negeri Pahang.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah, daripada jumlah tersebut sebanyak 22 unit rumah diperuntukkan di Daerah Temerloh dengan 19 unit telah pun siap di daerah berkenaan manakala sebanyak 92 unit rumah pula telah siap dibina di seluruh Pahang.
“Dan saya harap semua penerima-penerima ini, seperti mana saya titah dalam semua perjumpaan saya dengan penghuni rumah, jangan jual sewenang-wenangnya, kalau pun tak ada waris, berhubung balik dengan pejabat daerah,” titah baginda pada Majlis Penyerahan Rumah Ru’ Rasa di Kampung Ketam, Temerloh.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Yaacob, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman, Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Khairur Rizal Ramli, Ketua-Ketua Jabatan dan pemimpin setempat.
Pada majlis itu, baginda berkenan mengurniakan replika kunci dan sumbangan kepada Encik Hamidin Yusof di perkarangan rumah Ru’ Rasa miliknya selepas rumah asal hangus dalam kebakaran pada 11 Mei lalu.
Dalam titah, baginda turut meminta agar kesemua lapan penerima dapat menjaga amanah yang diberikan supaya dapat memberi manfaat kepada keluarga sehingga ke anak cucu. – PAHANGMEDIA

