Oleh : Ain Nadhirah Basha
TEMERLOH, 22 SEPTEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menyantuni golongan asnaf dan miskin di daerah Temerloh hari ini.
Seri Paduka Baginda yang tiba pada 1.30 petang diiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketibaan Seri Paduka Baginda disambut oleh Timbalan Yang di-Pertua MUIP, YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda berdua telah berkenan bercemar duli mengurniakan sumbangan kepada 150 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan miskin di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Sebelum itu, Seri Paduka Baginda dan paduka-paduka anakanda telah berkenan menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat di masjid berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Taman Temerloh Jaya.
Kesemua penerima telah menerima sumbangan berupa wang kurnia, beras, dan barangan keperluan asas.
Salah seorang penerima bantuan, Encik Jamaluddin Majid, 64, dari Kampung Petaling berkata dia merasa gembira dan bersyukur dengan sumbangan daripada Seri Paduka Baginda dan MUIP yang diterima hari ini.
“Rasa suka, rasa bangga dapat jumpa Tuanku. Terima kasih banyak-banyak bagi saya dan adik bantuan. Rancang nak buat beli baju, nak guna untuk macam-macam,” katanya yang tinggal berdua bersama adiknya Cik Safiah Majid, 40, yang juga penerima bantuan hari ini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. -PAHANGMEDIA

