Oleh : Fansurina Abdullah
BENTONG, 21 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang terus komited menyalurkan pelbagai bantuan dan sumbangan kepada penduduk negeri ini meski pun pelbagai sentimen negatif terhadap kebaikan yang telah lama dibawakan untuk rakyat.
Hal ini terbukti apabila pelbagai bentuk bantuan diberikan kepada setiap lapisan masyarakat termasuklah masjid, surau kebenaran Jumaat, surau, maahad tahfiz serta pondok, pelajar maahad, premis KAFA dan Muallaf Daerah Bentong dengan jumlah keseluruhan RM494,400.
Bagi seorang pelajar SMA Ar Raudhah An Nabawiyyah Janda Baik, Muhammad Fairil Hadif Mohd Nizam, 14, berkata, bantuan BPP berjumlah RM100 yang diterima akan dimanfaatkan bagi kegunaan pembelajaran.

“Perasaan saya rasa gembiralah sebab dapat sumbangan ini dan akan digunakan untuk belanja sekolah. Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana beri sumbangan kepada saya,” katanya.
Manakala bagi seorang pelajar Maahad Tahfiz Integrasi Al Hikmah yang berasal dari Sabah, Alleya Wielda Ahmad Fakih, 19, berkata, beliau berhasrat untuk menyimpan bantuan BPP yang diterima dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberikan BPP kepada para pelajar termasuklah pelajar Maahad Tahfiz dan Pondok di seluruh Pahang.

“Saya rasa bersyukur sebab rezekikan dapat RM100 dan ini satu peluang untuk kami dapat duit poket jugalah. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Negeri Pahang dan Menteri Besar Pahang kerana memberi bantuan RM100 kepada pelajar Maahad Tahfiz,” katanya.
Kesesemua mereka telah menerima BPP pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 kepada Masjid, Surau Kebenaran Jumaat, Surau, Maahad Tahfiz/Pondok, Pelajar Maahad Tahfiz/Pondok, Premis KAFA dan Muallaf Daerah Bentong yang telah disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada majlis itu, sebanyak 33 masjid dan surau kebenaran Jumaat menerima RM10,000 setiap masjid/surau, 162 muallaf menerima RM200 seorang, 670 pelajar maahad tahfiz/pondok menerima RM100 seorang, sembilan buah maahad tahfiz/pondok menerima RM2,000 setiap buah, 26 premis KAFA menerima RM1,000 bagi setiap premis dan tujuh bantuan surau DUN Pelangai menerima RM3,000 bagi setiap surau. – PAHANGMEDIA

