Oleh : Fansurina Abdullah
BENTONG, 21 SEPTEMBER 2023 : Seramai 907 penerima menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 yang membabitkan peruntukan sebanyak RM494,400 pada Majlis Penyampaian BPP 2023 kepada Masjid, Surau Kebenaran Jumaat, Surau, Maahad Tahfiz/Pondok, Pelajar Maahad Tahfiz/Pondok, Premis KAFA dan Muallaf Daerah Bentong.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, segala usaha ini membuktikan betapa Kerajaan Pahang sangat bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat di samping membawa pembangunan dalam mengembangkan syiar Islam di bumi Pahang.
“Saya hendak beritahu kepada tuan-tuan dan puan-puan, kita di Pahang ini sangat mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat dan juga berhubung dengan pengembangan pendidikan agama Islam di negeri kita.
“Sebab itu kalau tuan-tuan tengok, di Negeri Pahang ini untuk masyarakat Orang Asli sahaja ada 14 buah masjid, yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri, sebelum itu cuma ada satu atau dua sahaja yang berkembang dari semasa ke semasa,” katanya pada majlis berkenaan hari ini.
Hadir sama ialah barisan Exco Kerajaan Pahang, Ketua Hakim Syarie Pahang, YAA Dato’ Haji Abdul Walid Haji Abu Hassan dan YDP Majlis Perbandaran Bentong, YH. Dato’ Rose Shamsul Abdul Razak.
Pada majlis itu, sebanyak 33 masjid dan surau kebenaran Jumaat menerima RM10,000 setiap masjid/surau, 162 muallaf menerima RM200 seorang, 670 pelajar maahad tahfiz/pondok menerima RM100 seorang, sembilan buah maahad tahfiz/pondok menerima RM2,000 setiap buah, 26 premis KAFA menerima RM1,000 bagi setiap premis dan tujuh bantuan surau DUN Pelangai menerima RM3,000 bagi setiap surau.
Pada majlis sama turut disampaikan sumbangan wang sagu hati kepada 59 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar Mesir tahun 2023 berjumlah RM177,000 dengan setiap pelajar menerima RM3,000 seorang.
Dalam ucapannya, beliau berkata, pada tahun 2023, sebanyak RM8 juta peruntukan telah ditambah menjadikan jumlah keseluruhan BPP Tahun 2023 ialah RM42.4 juta bagi bantuan dan sumbangan kepada 218,193 penerima.
Beliau turut berkongsi jumlah kutipan hasil Kerajaan Negeri terkini berjumlah RM911 juta dan semakin menghampiri sasaran tahun 2023 sebanyak RM1.083 bilion. – PAHANGMEDIA

