Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 21 SEPTEMBER 2023 : “Dia dipilih bukan atas individu, tapi atas parti UMNO, Barisan Nasional (BN) yang beliau wakili, dan beliau bertanding atas tiket Barisan Nasional,” ulas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau yang ditemui selepas pengumuman calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai berkata, penerimaan daripada ahli UMNO Bahagian Bentong juga dapat dilihat dengan jelas semasa pengumuman dilakukan.
“Saya tengok tadi selepas pengumuman calon, kita dapat lihat jelas bahawa ahli-ahli UMNO, BN, parti komponen, melihat bagaimana UMNO Bahagian Bentong menerima calon yang telah diumumkan tadi.
“Bagi saya ia boleh menunjukkan satu contoh yang baik dan secara spontan Pemangku Ketua Bahagian yang juga antara calon-calon yang disebut telah pun memberi ucapan dengan penuh semangat dan jelas menyampaikan mesejnya bahawa beliau meminta semua ahli-ahli UMNO akur dengan keputusan pucuk pimpinan dan parti sebab kita orang parti,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan calon ini juga disebabkan beberapa kriteria yang dilihat dapat menjadi faktor kemenangan BN di Pelangai walaupun barisan calon yang disenaraikan sebelum ini berkelayakan.
“Kita memilih calon bukan kita saja-saja pilih. Banyak kriteria walaupun calon-calon yang disebut sebelum itu semuanya layak dan memenuhi kriteria.
“Tetapi kadang-kadang (yang kita lihat) ada faktor plus, value added sebagai contoh dan dalam masa yang sama saya juga turut mengambil kira pandangan-pandangan dari agensi-agensi kerajaan, yang berkaitan, individu-individu yang berpengaruh.
“Kita tidak menilai atas satu sebab kerana PRK, PRU, dia ada perbezaan, senario dia ada perbezaan dan kita tahu Pelangai ini kita baru selesai PRN, baru saja selesai PRK di Pulai dan Simpang Jeram, jadi ada kriteria-kriteria tertentu dan pemilihan calon ini bukan dibuat secara individu,saya terpaksa berunding dengan Presiden, mendapat pandangan,” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan yang tinggi untuk Barisan Nasional berjaya mengekalkan kerusi di PRK Pelangai namun mengingatkan supaya tidak mengambil mudah perkara ini.
“Saya menaruh keyakinan yang tinggi (bagi kejayaan calon di PRK Pelangai) namun kita tidak boleh ambil mudah.
“Kita harus bekerja kuat kerana Pilihan Raya Pelangai ini adalah pilihan raya yang sangat penting, bukan untuk negeri malah untuk negara kerana seluruh negara akan memberi tumpuan kepada PRK N.36 Pelangai,” katanya. – PAHANGMEDIA

