Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 21 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju menyenaraikan 18 kawasan di dalam wilayah FELDA di negeri ini sebagai Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA Pahang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini keputusan ini diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang dijalankan semalam.
“Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat semalam (20 September 2023) telah bersetuju mengisytiharkan 18 kawasan dalam wilayah FELDA sebagai Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA Pahang.
“Melalui skim ini, generasi baharu FELDA akan berpeluang untuk membina rumah kediaman mereka di atas tanah yang akan diberi milik oleh Kerajaan Negeri dengan infrastruktur khususnya akses ke setiap lot akan disediakan oleh pihak FELDA.
“Senarai 18 kawasan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA Pahang tersebut adalah seperti berikut; Wilayah Mempaga 10 kawasan; Wilayah Jengka 4 kawasan; dan Wilayah Kuantan 4 kawasan,” katanya.
Beliau berkata proses pemberimilikan tanah ini akan diuruskan secara berperingkat berdasarkan permohonan yang dikemukakan kepada pihak FELDA.
“Saya berharap, pelaksanaan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA Pahang ini membolehkan generasi baharu FELDA di Negeri Pahang memiliki kediaman yang selesa beserta kemudahan infrastruktur yang mencukupi bagi menjalani kehidupan yang sejahtera bersama keluarga,” katanya. -PAHANGMEDIA

