Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 20 SEPTEMBER 2023 : Ahli JawatanKuasa (AJK) UMNO Bahagian Bentong, YH. Dato’ Amizar Abu Adam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Keputusan ini diumumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di sini hari ini.
Dato’ Amizar yang merupakan anak jati FELDA Chemomoi melahirkan rasa terharu diatas kepercayaan yang diberikan oleh Barisan Nasional (BN) kepada dirinya.

“Syukur kepada Allah SWT pada malam ini telah diumumkan oleh YAB Dato’ Sri Menteri Besar dan pada saya rasa sangat terharu kerana diamanahkan oleh parti Barisan Nasional untuk mewakili calon di N.36 Pelangai.
“Bahawasanya ini adalah amanah parti dan saya sebagai menyambung legasi allahyarham Dato’ Sri Johari Harun, banyak perkara-perkara akan dilaksanakan dan saya rasa terpanggil untuk meneruskan legasi allahyarham dalam segi apa yang nak dilaksanakan dan dirancang di N.36 Pelangai,” katanya.
Beliau sebelum ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Chemomoi sebelum meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Chemomoi dan kemudiannya melanjutkan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Dengan Kepujian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan seterusnya Pengurusan Strategik Dan Kepimpinan di Universiti Sains Malaysia (USM). -PAHANGMEDIA

