Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 20 SEPTEMBER 2023 : Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai merupakan latihan kepada ahli UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.
Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan berkata ini bagi memastikan seramai mungkin ahli UMNO keluar mengundi.
“Kita nak pastikan supaya ini merupakan latihan kepada jentera kita supaya kita dapat keluarkan seramai mungkin ahli-ahli kita, ahli parti dulu.
“Kalau di Pelangai ini, kita ada 3,000 lebih ahli UMNO. Yang paling baik sekali kita keluarkan 3,000 lebih, pastikan mereka keluar. Yang selebihnya nanti, kita menyantuni pula penduduk ataupun pengundi yang lain.
“Yang pasti jentera parti keluarkan ahli parti dulu. Ahli parti ada 3,000 lebih, maknanya 20 peratus sudah dalam tangan kita, ataupun treshold, 16,000 lebih dapat 3,000 pun dah dapat 20 peratus dan selebihnya kita cari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) PRK DUN Pelangai di Simpang Pelangai hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO; Naib Presiden UMNO, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan Timbalan Presiden MCA, Dato’ Dr. Mah Hang Soon.
Beliau berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pelangai kali ini juga disifatkan sebagai pertempuran yang perlu dihadapi oleh jentera parti.
“Ini menjadi sebagai pertempuran yang perlu kami hadapi untuk kita pastikan supaya jentera parti sentiasa bersiapsiaga menghadapi PRU16 nanti.
“Ini merupakan sebagai tempat latihan supaya jentera sentiasa bergerak selepas menang di PRK Pulai Dan Simpang Jeram,” katanya.
Beliau turut mengharapkan kerjasama erat daripada komponen di dalam Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kemenangan calon bagi PRK ini.
“Mengharapkan rakan parti dlm Kerajaan Perpaduan menjalani kerjasama sebagaimana BN berhempas pulas untuk memenangkan calon sebagaimana di Pulai dan Simpang Jeram.
“Pelangai ini merupakan kubu kuat kita. Arwah (Dato’ Sri Johari) menang majoriti 4,000 lebih (undi), jadi kita cuba kekalkan. Kalau tak dapat kekalkan pun, kurang sikit pun tak apa.
“Tapi lebih baik kita hadiahkan dengan kemenangan majoriti, lebih baik. Supaya jasa-jasa yang dilakukan oleh Tok Nan (Tan Sri Adnan Yaakob) dan di sambung Dato’ Sri Johari dapat di sambung. Harap pengundi memberikan penghormatan dan membalas jasa baik mantan Menteri Besar sebelum ini,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 7 Oktober depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, dan 23 September ditetapkan sebagai tarikh bagi hari penamaan calon.
Allahyarham Dato’ Sri Johari merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai adalah salah seorang mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina pada 17 Ogos lepas. -PAHANGMEDIA

