Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 20 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang akan menjadikan keputusan hasil kajian para penyelidik perhutanan sebagai panduan dalam menjaga kelestarian alam sekitar di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata untuk tujuan ini Kerajaan Negeri menyambut baik penyelidikan yang dilakukan di kawasan hutan di negeri ini.
“Dia (penyelidikan) akan selari, di mana mereka akan memberi pandangan apa yang patut di buat, apa yang tidak patut di buat, apa yang patut dilakukan, dan kita akan ikutlah sebab itu mereka membuat kajian.
“Kita akan kemukakan kepada Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan dan kita akan teliti dan lazimnya apa yang diberi oleh mereka kita akan patuhi. Ini kerana ini (penyelidikan) adalah satu usaha yang sangat baik dan kita akan jadikan sebagai panduan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Penyerahan Cek Cura dan Surat Tawaran Geran Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan bagi Taman Negeri Rompin dan Lubuk Yu 2024 di Majlis Perbandaran Bentong hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin.
Beliau turut melahirkan harapan agar penyelidikan dan pendidikan perhutanan dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Ini adalah satu usaha yang sangat baik kerana kita melibatkan golongan profesional supaya kita terus melangkah ke hadapan lagi dari segi mendapat pandangan, nasihat daripada mereka selain dari apa yang telah kita rancangkan.
“Jadi saya harap usaha ini berterusan dan saya juga dimaklumkan bahawa Jabatan Perhutanan Negeri menaikkan sedikit peruntukan kepada mereka untuk kerja-kerja kajian,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah memperuntukan Geran Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan di bawah Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (KWPH) bagi Taman Negeri Rompin dan Taman Negeri Lubuk Yu, Maran.
Seramai 15 penyelidik telah berjaya mendapatkan geran penyelidikan bernilai RM15,000 setiap seorang melibatkan 10 penyelidik bagi Taman Negeri Rompin dan lima penyelidik lagi bagi Taman Negeri Lubuk Yu. – PAHANGMEDIA

