Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd NorHilmi Nordin
BENTONG, 14 SEPTEMBER 2023 : Dua menara telekomunikasi iaitu di Kampung Chemomoi dan Klinik Kesihatan Chemomoi sudah siap dibina dan sedia beroperasi sepenuhnya.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, menara itu kini telah diserahkan daripada Theta iaitu pembina struktur menara telekomunikasi kepada pihak telco CelcomDigi bagi mengaktifkan rangkaian 4G.
“Saya minta CelcomDigi segerakan kerja-kerja yang berkaitan dan memastikan menara Kampung Chemomoi ini beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini dan pihak CelcomDigi telah menyatakan komitmen tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan tapak dan taklimat Ringkas Status Ketersediaan tiga menara baharu Projek JENDELA di DUN Pelangai oleh Theta dan CelcomDigi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Kampung Chemomoi, di sini hari ini.
Jelasnya, lawatan kerja ke tapak menara telekomunikasi ini sentiasa diberi perhatian bagi memastikan pembinaannya mengikut jadual dan dapat disegerakan demi manfaat seluruh rakyat khususnya rakyat di Negeri Pahang.
Sehingga kini, sebanyak 85 menara telekomunikasi di bawah inisiatif JENDELA telah siap dan beroperasi sepenuhnya di seluruh Pahang termasuklah di Kampung Chemomoi dan Klinik Kesihatan Chemomoi.
Manakala menara di Kampung Manchis dan Ladang Hutan Kemasul pula sedang dalam pembinaan. – PAHANGMEDIA

