Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 14 SEPTEMBER 2023 : “Sekarang ini masa untuk kita membantu rakyat, kita perlukan perpaduan,” itu tegas Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau yang juga YAB Menteri Besar Pahang dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berkata, kesungguhan ini dapat dilihat selepas wujudnya Kerajaan Perpaduan.
“Rakyat yang akan mendapat untung. Itu tujuannya politik ini. Rakyat dah buat keputusan, kita terima, kita dah tubuh Kerajaan dan kita buat kerja untuk rakyat. Sebab ada Kerajaan kita boleh menolong rakyat di Pelangai pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2023 Bagi Kluster Pemandu Teksi, Penjaja Harian, Food Rider, dan MyLesen Prihatin Pahang di Dewan Orang Ramai Agropolitan FELDA Chemomoi hari ini.
Mengulas mengenai komitmen DAP untuk membantu UMNO mempertahankan kerusi DUN Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini, beliau berkata ianya amat dihargai.
“Kita sangat menghargai dan mereka juga sangat menghargai komtimen UMNO semasa PRK Pulai dan Simpang Jeram. Kita boleh lihat kenyataan pemimpin-pemimpin mereka (DAP) menyatakan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO memang bersungguh-sungguh membantu mereka.
“Mereka telah terjemahkan pun (kerjasama) di Pahang semasa PRK Tioman tempoh hari, tidak ada masalah. Sebab niat kita baik, tujuan kita baik untuk kita bekerjasama untuk rakyat,” katanya. – PAHANGMEDIA

