Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 14 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang memperuntukkan RM4.06 juta melalui kluster Pemandu Teksi, Penjaja Harian, Food Rider, dan MyLesen Prihatin Pahang yang dilancarkan hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri terhadap bantuan yang bermanfaat kepada rakyat.
“Kita akan teruskan dan saya dah bagi komitmen apa yang Kerajaan Negeri buat, mendapat sambutan yang baik, kita akan teruskan.
“Sama ada kita kekalkan dengan kadar yang sedia ada atau kita tingkatkan lagi bergantung kepada kedudukan kewangan, dan kita tengok respon macam mana.
“Sebab kita dari semasa ke semasa kita bukan statik, bukan status quo, kita ingin kepada perkembangan kalau sekiranya perlu ada pertambahan dalam kadar segera kita buat pertambahan tapi tertakluk kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2023 Bagi Kluster Pemandu Teksi, Penjaja Harian, Food Rider, dan MyLesen Prihatin Pahang di Dewan Orang Ramai Agropolitan FELDA Chemomoi hari ini.
Turut hadir, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan; dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Menurut beliau lagi, pemberian bantuan bagi kluster ini juga berdasarkan rekod yang diperoleh oleh Kerajaan Negeri bagi mengelakkan masalah dari segi penyaluran sumbangan.
“Kita ada rekod kita, di pejabat kita ada bahagian data, kita akan pastikan. Sebab kita tak mahu yang sepatutnya dapat, tak dapat, dan yang sepatutnya dapat, tak dapat.
“Kerana ini duit Kerajaan. Siapa yang layak, dia dapat. Sebab itu kita namakan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang prihatin dan cakna kepada rakyat,” katanya.
Bagi bantuan kluster ini, seramai 20,345 penerima akan menerima manfaat daripada Kerajaan Negeri Pahang melibatkan empat kategori yang disenaraikan.
“Seramai 10,816 penjaja harian akan menerima RM200 seorang dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM2.163 juta; penghantar makanan atau Food Rider akan menerima RM200 melibatkan 5,000 penerima, dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM1 juta.
“Pemandu Teksi akan menerima RM200 melibatkan 929 penerima, dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM185,600; dan MyLesen bagi penerima berusia 18 hingga 21 tahun akan menerima RM200 seorang, melibatkan 3,600 penerima, dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM720,000,” katanya. – PAHANGMEDIA