YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, YB. Encik Chiong Yoke Kong pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

SIDANG DEWAN : LIMA ANAK SYARIKAT PAHANG CORP BANTU LANCAR PENGURUSAN NEGERI

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (praktikal)

KUANTAN, 1 APRIL 2022 : Lima buah anak syarikat Pahang Corp iaitu Pahang Corporate Management Services Sdn Bhd (PCMS), Pahang Water and Energy Resources Sdn Bhd (PWE), Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO), Koridor Utiliti Pahang Sdn Bhd (KOP) dan Pahang Go Sdn Bhd (PGSB) memainkan peranan tersendiri dalam menyumbang kepada Kerajaan Negeri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang Corporate Management Services Sdn Bhd bertindak sebagai syarikat yang menjalankan pengurusan korporat syarikat, latihan dan insurans yang berkaitan dengan semua anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang.

“Ia merangkumi sektor kesetiausahaan syarikat, khidmat akaun, pengauditan perakaunan, percukaian korporat, pengurusan audit dan nasihat perundangan korporat.

“Pahang Water and Energy Resources Sdn Bhd pula diberi hak konsesi penggunaan sumber air dan penggunaan jeti/marina yang membenarkan mereka mengeluarkan konsesi kecil penggunaan sumber air kepada operator-operator sumber air mentah sedia ada selain menyelaras aktiviti pembangunan sumber tenaga yang boleh diperbaharui melibatkan aset Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, YB. Encik Chiong Yoke Kong pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan fungsi Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd yang menjadi One Stop Centre (OSC) bagi pengurusan tanah rizab Orang Asli yang berpotensi dari segi aktiviti ekonomi dalam memberi manfaat yang optimum kepada Orang Asli di negeri ini.

“Koridor Utiliti Pahang Sdn Bhd pula berperanan sebagai Agensi Penyelaras Koridor Utiliti Negeri (Pengurusan Infrastruktur Utiliti) yang mendapat perlantikan daripada Kerajaan Negeri.

“Pahang Go Sdn Bhd menjadi One Stop Centre (OSC) kepada aplikasi perkhidmatan digital online seperti sistem e-parkir, aplikasi pembayaran hasil kerajaan, pembayaran kompaun, kutipan caj utiliti, sistem aduan rakyat dan sebagainya,” katanya.

Menjawab soalan tambahan ADN Tanah Rata berkenaan audit dan semakan seimbang terhadap semua syarikat berkenaan, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, syarikat-syarikat yang baru ditubuhkan ini akan menjalani audit dan semakan selepas ia selesai beroperasi mengikut sesuatu tempoh yang ditetapkan bagi tujuan tersebut.

“Syarikat-syarikat ini adalah berdaftar yang mendapat kelulusan dan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Selain mempercepatkan sesuatu proses dan mengurangkan birokrasi ianya ada check and balance, jadi mudah untuk kita mengawal kerana kita ada satu badan yang mengawal apa jua kerja-kerja yang dilakukan semua syarikat terlibat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download