Gambar hiasan

JEMAAH BOLEH RAPATKAN SAF SOLAT BERMULA HARI INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (Praktikal) & Muhammad Shamim Aiman Shafiq Fauzan (Praktikal)

KUANTAN, 01 APRIL 2022 : Jemaah yang bersolat di semua masjid dan surau di negeri ini dibenarkan merapatkan kembali saf solat tanpa penjarakkan fizikal bermula hari ini setelah negara beralih ke fasa endemik.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata ia turut melibatkan jemaah yang belum menerima suntikan vaksinasi COVID-19.

Beliau berkata keputusan ini telah mendapat perkenan KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

“Bersyukur kita Kebawah Duli Tuanku telah berkenan cadangan ini (rapatkan saf) untuk dilaksanakan bermula hari ini.

“Bermula dengan solat Subuh dah solat Jumaat bolehlah kita merapatkan saf. Kaedahnya tetap juga kita minta ahli jemaah membawa sejadah dengan setiap orang kena guna sejadah sendiri.

“Mereka ini tidak kira sama ada dah ambil vaksin, atau belum ambil vaksin boleh untuk hadir solat berjemaah di masjid, insyaAllah,” katanya.

Beliau berkata keputusan ini juga selari dengan cadangan YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram