Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (praktikal)
KUANTAN, 1 APRIL 2022 : Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.97 juta peruntukan bagi pembangunan sektor penternakan bagi tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, antara perancangan pembangunan sektor penternakan ialah meningkatkan kapasiti industri penternakan dan meningkatkan pengeluaran makanan ternakan berasaskan tanaman rumput.
“Pada tahun ini Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri memperkenalkan insentif Skim Makmur Ternak melibatkan 70 orang penternak yang akan memperoleh bantuan dalam bentuk geran pemadanan bagi perolehan baka dan induk ternakan ruminan dan geran bantuan input infrastruktur dan peralatan ternakan.
“Berkenaan pengeluaran makanan ternakan, para penternak digalakkan membangunkan homplot tanaman rumput bagi kegunaan ternakan sendiri atau boleh dijual pada harga yang lebih rendah berbanding dedak komersil yang mengalami beberapa kali peningkatan harga sepanjang tempoh pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Luit, YB. Encik Mohd Sofian Abd Jalil pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Selain itu, beliau berkata antara perancangan lain yang akan dilaksanakan ialah mengawalselia status kesihatan ternakan bagi meningkatkan produktiviti ladang dan keselamatan awam.
“Kita juga akan memberi galakan kepada peningkatan pengeluaran produk hiliran berasaskan ternakan yang berkualiti dan selamat di bawah skim insentif baru, Skim Tingkat Ekonomi dan Produktiviti Industri Asas Ternakan Pahang (STEPP).
“Pelbagai kursus melibatkan tenaga pengajar dari dalam dan luar juga akan dianjurkan melibatkan jurusan penternakan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran penternak,” katanya. – PAHANGMEDIA