Pengarah JAIP, YH Dato' Zulkifle Ali

SEMUA SEKOLAH MENENGAH AGAMA NEGERI DI BAWAH KELOLAAN JAIP DITUTUP MULAI ESOK

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib

KUANTAN, 8 NOVEMBER 2020: Semua Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan ditutup mulai esok berikutan penularan wabak COVID-19.

Pengarah JAIP, YH Dato’ Zulkifle Ali berkata, ia membabitkan sebanyak 18 buah sekolah dengan 8,650 pelajar terlibat.

Katanya lagi pihaknya baharu selesai mengadakan mesyuarat sebentar tadi bagi membincangkan mengenai perkara ini dan bersetuju seperti yang diarahkan oleh Kerajaan Pahang.

“Proses penutupan SMA yang terlibat akan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Bagi ibu bapa yang ingin mengambil anak mereka, boleh datang bermula esok. Bagaimanapun ibu bapa yang sudah datang hari ini mereka dibenarkan mengambil anak mereka,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Katanya lagi, bagi ibu bapa atau penjaga yang datang dari kawasan zon merah, mereka boleh mengambil anak mereka secara sistem pandu lalu.

“Kiranya ibu bapa tidak perlu turun daripada kenderaan mereka. Kita mahu pastikan semua SOP yang ditetapkan oleh kementerian diikuti sepanjang proses pulang pelajar,” katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan semua sekolah termasuk Kolej Vokasional di seluruh negara ditutup bermula esok sehingga hari akhir persekolahan pada tahun ini. – PAHANGMEDIA

Artikel berkaitan: https://pahangmedia.my/kerajaan-pahang-minta-jaip-laksana-penutupan-sekolah-agama-seluruh-pahang/

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download