Oleh: Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 JULAI 2024 : Pahang mempamerkan komitmen tinggi dalam persiapan atlet menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak pada Ogos nanti.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata persiapan ini penting untuk memastikan prestasi atlet berada pada tahap terbaik dan melebihi sasaran pingat yang ditetapkan.
“Dalam pertemuan ini saya nyatakan bahawa itu hanyalah sasaran yang ditetapkan oleh pihak persatuan dan juga Majlis Sukan (Pahang). Sasaran ini sebenarnya mampu kita atasi dengan pencapaian yang lebih baik kalau ada kesungguhan dan iltizam tinggi di kalangan atlet dan juga jurulatih. Sasaran ini dibuat berdasarkan prestasi semasa, dan mungkin pada waktu tersebut itulah yang dirasakan terbaik mampu dicapai.
“Daripada turun padang ini saya melihat kepada persiapan mereka, saya percaya mereka mampu mencapai keputusan yang lebih baik. Saya tidak akan terkejut jika mereka memperoleh lebih banyak pingat atau pingat yang lebih cemerlang daripada apa yang kita sasarkan.
“Walaupun ada kelebihan tertentu seperti akademi ragbi di Selangor, akhirnya dalam sukan, persiapan, latihan, dan semangat juang untuk menang itu lebih penting daripada kelebihan lain,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa persiapan rapi dan pemantauan prestasi atlet adalah kunci mencapai keputusan lebih baik, dan berharap disiplin serta kesungguhan atlet akan terus meningkat dalam baki kira-kira 37 hari lagi menjelang SUKMA di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau juga meminta Majlis Sukan Pahang (MSP) memantau rapi persiapan atlet bagi mengelakkan kecederaan yang tidak diingini dan menyatakan bahawa masih banyak ruang untuk penambahbaikan, serta tidak mahu berpuas hati sepenuhnya dengan persiapan yang ada sekarang.
“Secara keseluruhan, saya belum puas hati dengan persiapan kita. Banyak ruang untuk penambahbaikan yang boleh dilakukan. Namun, saya akui saya tidak boleh terlalu mendesak kerana mungkin sebelum ini kita terganggu akibat COVID-19 dan sebagainya. Selepas SUKMA Sarawak, kita boleh melakukan penambahbaikan untuk persiapan SUKMA 2026 nanti,” katanya.
Menurut beliau antara penambahbaikan yang dirancang termasuklah menjalin kerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) untuk menempatkan jurulatih sambilan dalam kalangan guru di seluruh negeri, yang dijangka membantu pencarian atlet layak dan berkarisma untuk mewakili Pahang pada SUKMA nanti.
Sementara itu, semua atlet yang akan ke SUKMA bakal terlibat dengan kem selama tiga hari bermula 23 Julai sebagai medan pembakar semangat terakhir sebelum majlis penyerahan bendera kontinjen Negeri Pahang pada 25 Julai ini.
SUKMA 2024 menyenaraikan seramai lebih kurang 560 atlet daripada 36 sukan akan mewakili kontinjen Pahang. – PAHANGMEDIA