Oleh : Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 JULAI 2024 : Sukan judo berpotensi besar dikembangkan di Pahang melalui pemupukan disiplin yang kukuh di kalangan atlet selain mendapat bimbingan daripada jurulatih mahir.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal melahirkan rasa kagum dengan kesungguhan jurulatih dalam mencari atlet dan melatih mereka.
“Unik sukan judo ni sebab kita agak lewat untuk melantik jurulatih, saya ingat sekitar bulan Februari baru kita dapat jurulatih. Bila terpilih pula sebagai jurulatih, atletnya tiada.
“Jadi, beliau ambil usaha dan inisiatif untuk turun padang ke sekolah-sekolah untuk nak merekruit atlet-atlet judo ini. Saya kagum dengan inisiatif tersebut dan pada bulan Mac beliau berjaya mengumpulkan atlet-atlet ini.
“Saya tengok attitude yang cukup bagus dipamerkan oleh atlet sukan judo ini. Saya sendiri bila tengok kesungguhan jurulatih dan atlet ni saya jadi bersemangat. Melihat potensi mereka, semangat juang tinggi mereka, disiplin yang mereka pamerkan, saya tengok satu hala tuju dan masa depan sukan judo yang baik untuk negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perjumpaan bersama atlet sukan judo Majlis Sukan Pahang (MSP) di sini semalam.
Beliau dalam masa yang sama turut melahirkan keyakinan terhadap potensi atlet yang terpilih untuk ke Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada bulan Ogos ini.
“Kita tak meletak sasaran yang begitu tinggi untuk sukan ni sebab kita tahu persiapannya sedikit lewat. Saya rasa dua gangsa tu mampu dicapai dan saya tak terkejut kalau dapat raih pingat yang lebih baik daripada gangsa. Tiada yang mustahil melihat daripada latihan dan persiapan mereka hari ini,” katanya. – PAHANGMEDIA