Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad melakukan lawatan kerja ke Projek Membina dan Menyiapkan Baki Kerja Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang.

KERAJAAN PAHANG BAKAL TERIMA BANGUNAN MAHKAMAH SYARIAH BAHARU

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 11 NOVEMBER 2020: Kerajaan Negeri Pahang bakal menerima bangunan baharu Mahkamah Syariah pada Februari 2021 apabila projek pembinaan tersebut sudah mencapai 76.92 peratus iaitu lebih awal berbanding jadual.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang, YH. Ir. Hafizah Zakaria berkata, pembinaan bangunan Mahkamah Syariah itu telah dimulakan sejak Februari 2019 dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan lagi.

Katanya, projek bernilai RM33.5 juta itu dijadualkan siap dalam tempoh 20 bulan daripada tarikh mula kerja iaitu pada Februari tahun lalu.

“Bangunan mahkamah syariah ini dibina di atas tanah seluas dua hektar di kawasan Bandar Indera Mahkota, Kuantan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad melihat Projek Membina dan Menyiapkan Baki Kerja Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad telah melakukan lawatan kerja ke Projek Membina dan Menyiapkan Baki Kerja Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang.

Pada lawatan kerja itu, beliau turut diiringi Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, YAA Dato’ Sri Abdul Rahman Md Yunus,  Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim dan Timbalan Pengarah (JKR) Negeri Pahang, YH. Ir. Azizi Ismail.

Menurut YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim menerusi laman Facebooknya, bangunan Mahkamah Syariah setinggi empat tingkat itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk tiga dewan bicara Mahkamah Rendah dan tiga bilik bicara Mahkamah Tinggi.

“Bangunan ini juga akan dilengkapi dengan bilik pentadbiran, ruang rehat orang kena tuduh (OKT), bilik Ketua Hakim Syarie, Hakim Syarie dan Pegawai Pendaftar.

“Selain itu, reka bentuk bangunan Mahkamah Syariah ini juga akan dihiasi dengan ukiran Islam dengan enam kubah sebagai mercu tanda pentadbiran Islam di negeri Pahang,” katanya.

Beliau berharap bangunan Mahkamah Syariah yang baharu itu nanti dapat memberikan keselesaan kepada pentadbir dan pelanggan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download