Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 21 FEBRUARI 2023 : Kerajaan Pahang sentiasa prihatin dan mengambil berat kebajikan para atlet Pahang khususnya atlet Orang Kurang Upaya (OKU) untuk terus pergi jauh di dalam bidang sukan yang diminati.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamed Kamal berkata, bakat dan kebolehan golongan tersebut dalam mengharumkan nama negara harus dipandang tinggi.
Jelasnya, tiada atlet yang terpinggir terutama atlet muda di mana Kerajaan Negeri akan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan tersebut.

“Kerajaan Negeri Pahang akan membantu remaja berbakat seperti ini untuk terus maju dalam bidang yang diminati iaitu futsal dan sokongan padu ini untuk semua termasuklah remaja OKU yang cacat pendengaran seperti ini.
“Tiada yang terpinggir, itu komitmen Kerajaan Negeri Pahang,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi atlet OKU Negara, Muhammad Amar Senin, 17, di rumahnya di Kampung Selamat di sini hari ini.
Pada kunjungan itu, beliau turut menyampaikan bantuan awal kepada Muhammad Amar sebagai persiapan untuk menjalani latihan selama sebulan di Perak sebagai persediaan menyertai 4th Asia Pacific Deaf Futsal Championship di Iran pada April nanti.
Sebelum ini, Muhammad Amar pernah menyertai 1st DIFA Deaf Futsal World Cup U21 Malaysia 2022 di Shah Alam dan 1st Sea Deaf Games Kuala Lumpur Malaysia serta berjaya menjaringkan 20 gol di dalam temasya itu.
Bakat dicungkil pada tahun lalu apabila menyertai ujibakat mencari pemain bagi 1st DIFA Deaf Futsal World Cup U21 dan beliau terpilih mewakili Malaysia.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar ini merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan mempunyai bakat besar di dalam sukan futsal sebelum menyertainya secara serius pada 2022. – PAHANGMEDIA