Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 22 FEBRUARI 2023 : Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyasarkan kutipan wakaf sebanyak RM3 juta tahun ini berbanding RM2.24 juta kutipan pada tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata, bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai, Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang mengisytiharkan bulan Syaaban sebagai Bulan Zakat Dan Wakaf di peringkat Negeri Pahang.
“Objektif Bulan Zakat Dan Wakaf diadakan adalah untuk mempertingkatan kesedaran kewajipan berzakat dan amalan berwakaf di kalangan umat Islam terutamanya di kalangan bakal pembayar.

“Program ini juga bertujuan untuk memperkenalkan pengurusan wakaf baharu kepada orang ramai serta meluaskan penglibatan masyarakat dalam pelaksanaan wakaf serta mengajak bersama-sama dalam menghayati amalan berwakaf.
“Adalah diharapkan juga Bulan Zakat dan Wakaf ini sebagai medium untuk mewujudkan kerjasama dengan pihak luar bagi meningkatkan kesedaran zakat dan wakaf kepada orang ramai,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Zakat dan Wakaf di Hotel Grand DarulMakmur hari ini.
Menurut beliau lagi, wakaf merupakan satu elemen penting selain zakat bagi membangunkan institusi serta ekonomi Islam di negeri dan negara ini.
“Dengan wakaf ini maka kita akan dapat bangunkan (institusi dan ekonomi Islam). Sebagai contohnya kita wakafkan pasaraya, dari pasaraya itu, duit sewa dan sebagainya akan masuk ke akaun wakaf serta dapat dikembangkan lagi untuk bangunkan lagi wakaf tersebut,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 6,908 orang pembayar wakaf direkodkan pada 2022 iaitu meningkat sebanyak 2,193 orang atau 47 peratus daripada 4,715 pembayar wakaf pada 2021 di negeri ini. -PAHANGMEDIA