Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika mengadakan pemantauan jalan yang rosak di sekitar Kuantan hari ini.

LEBIH RM400 JUTA DIPERLUKAN BAGI BAIK PULIH JALAN DI PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 21 FEBRUARI 2023 : Kerajaan Negeri memerlukan sebanyak lebih RM400 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membaik pulih jalan persekutuan sepanjang lebih 3,000 kilometer di seluruh Pahang.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, beliau berharap peruntukan tersebut mendapat kelulusan penuh bagi membolehkan kerja-kerja menaiktaraf jalan dapat dijalankan dengan baik.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika mengadakan pemantauan jalan yang rosak di sekitar Kuantan hari ini.

“Tetapi ada juga kadang-kadang, tidak semua bajet yang kita mohon dapat diluluskan sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat, ini mungkin disebabkan oleh kekangan kewangan yang terpaksa memberikan juga kepada kementerian lain, jadi kekurangan peruntukan ini juga boleh menyebabkan penyelenggaraan jalan di seluruh Pahang tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya atau lebih baik lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang di Bilik Mesyuarat Anggerik Kompleks Tun Razak (KOMTUR) di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, permohonan peruntukan itu akan dibentangkan pada 24 Februari ini sebelum keputusan diperoleh pada pembentangan Belanjawan 2023 nanti.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Sementara itu beliau berkata, Kerajaan Pahang memandang serius isu jalan rosak di seluruh negeri dan beberapa perkara yang sedang giat diperkatakan di laman sosial terutama berkaitan masalah kualiti jalan yang dihadapi masyarakat.

Katanya, musim tengkujuh yang melanda negeri-negeri Pantai Timur termasuklah Pahang mengakibatkan kenaikan paras air yang turut menyumbang kepada kerosakan jalan.

Tambah beliau, Jalan Negeri sepanjang lebih 3,000 kilometer di seluruh Pahang tidak mengalami masalah besar sebaliknya Jalan Persekutuan sepanjang lebih 3,000 kilometer yang memerlukan penyelenggaraan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram