Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
LIPIS, 28 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan meningkatkan peruntukan bagi penganjuran Karnival Aspirasi Pahang 1st kepada RM5 juta tahun hadapan bagi memastikan program berkenaan dilaksanakan dengan lebih meriah serta memberi manfaat lebih meluas kepada rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan peruntukan itu membolehkan pelbagai pengisian program diperluas, sekali gus memperkukuh peranan karnival berkenaan sebagai platform merapatkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan rakyat.

“Kita akan teruskan program sebegini pada tahun-tahun akan datang kerana ia merupakan satu platform untuk kita bersama-sama berkongsi pengalaman, mengetengahkan usahawan serta mendedahkan pelbagai perkara kepada masyarakat.
“Lebih penting, kita dapat berjumpa antara satu sama lain dan mengukuhkan silaturahim sesama kita.
“Kita akan buat lebih meriah lagi berbanding tahun ini. Walaupun tahun ini kita rasakan sudah meriah, tetapi kita akan menjadikannya lebih meriah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Tok Wan sempena Karnival Aspirasi Pahang 1st Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Pahang mampu muncul sebagai negeri dengan prestasi ekonomi tertinggi di negara ini dalam tempoh lapan tahun akan datang menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan strategik.
Katanya, antara perkembangan positif yang mampu melonjakkan ekonomi negeri ialah penghantaran kenderaan pertama ke Sarawak menerusi Pelabuhan Kuantan yang hanya mengambil masa kira-kira 43 jam, berbanding lebih tiga hari melalui Pelabuhan Klang.

“Kita telah mula menghantar kenderaan pertama ke Sarawak melalui Lembaga Pelabuhan Kuantan dengan tempoh perjalanan kira-kira 43 jam untuk sampai ke Sarawak.
“Berbanding jika kita menghantarnya melalui Pelabuhan Klang yang mengambil masa lebih daripada tiga hari, usaha ini sekiranya berjalan lancar akan melonjakkan lagi ekonomi Negeri Pahang.
“Sebab itulah saya sangat yakin dalam tempoh lapan tahun dari sekarang, tidak mustahil Pahang akan menduduki tempat pertama di negara ini,” katanya.
Pada majlis sama, Kerajaan Negeri turut menyampaikan sumbangan bernilai hampir RM100,000 kepada 13 penerima sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam membantu rakyat merangkumi aspek pendidikan, kebajikan dan ekonomi. -PAHANGMEDIA

