Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Sebanyak lapan projek pembangunan melibatkan peruntukan berjumlah RM3.47 juta dilaksanakan di daerah Lipis, termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku, bagi memperkukuh pembangunan sosioekonomi menerusi sektor pelancongan sejak 2022 hingga 2026.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man, inisiatif dilaksanakan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) itu merangkumi usaha menaik taraf kemudahan interpretasi dan pelancongan di kawasan geopark selain memperkasa penglibatan komuniti setempat dalam pemuliharaan warisan geologi dan biodiversiti.
Beliau berkata antara tumpuan utama inisiatif berkenaan ialah program pembangunan kapasiti komuniti bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan warisan semula jadi, selain menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti eko-pelancongan.
“Inisiatif pembangunan dilaksanakan secara berperingkat di Lipis Geopark antaranya pertama dari tahun 2022 hingga 2026 sebanyak lapan projek dengan jumlah bernilai RM3.47 juta dijalankan di Lipis termasuk di DUN Padang Tengku iaitu menaik taraf kemudahan literasi dan kemudahan pelancongan di Gua Bama.
“Yang kedua program pemerkasaan dan penglibatan komuniti setempat untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan warisan geologi biodiversiti dan keupayaan pembangunan kapasiti komoditi melibatkan masyarakat dalam aktiviti geo pelancongan dan menggalakkan komuniti tempatan untuk menyertai peluang ekonomi yang berasaskan pelancongan lestari.
“Ketiga, tentang pelancongan di Lipis Geopark, setakat ini di ada dua operator pelancongan yang menawarkan pakej-pakej yang menghubungkan kawasan pelancongan baru di Lipis Geopark. Majlis Daerah Lipis juga giat menghimpunkan pemain-pemain industri pelancongan untuk menambah baik strategi promosi dan hebahan dalam produk pelancongan,” katanya.
Tambah beliau, selain itu, kursus perlesenan dan pengiktirafan pemanduan geo telah dijalankan dengan kumpulan pertama di negeri ini adalah di daerah Lipis.
“Kursus perlesenan dan pengiktirafan geo guide telah dijalankan dan untuk geo guide batch pertama di Pahang adalah di Lipis untuk membawa pelawat apabila mereka sampai di geopark.
“Ini untuk memupuk pelancong mengenai kepentingan melindungi sumber semulajadi dan warisan di dalam geopark dan menggalakkan tingkah laku bertanggungjawab dan mengelakkan vandalisme dan menggalakkan amalan lestari,” katanya.
Mengulas mengenai Gua Bama, beliau berkata sebanyak RM1.5 juta telah dibelanjakan bagi menjalankan projek di gua yang disenaraikan bagi tujuan pembangunan tersebut.
“Gua Bama adalah salah satu gua yang disenaraikan sebagai gua utama untuk pembangunan. Jadi Gua Bama sahaja dalam beberapa tahun ini terima peruntukan lebih RM1.5 juta termasuk kelulusan bawah MMK (Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri) dan ada projek yang telah siap dan ada yang masih dilaksanakan
“Dan untuk dapat pengiktirafan Asean Standard, tahun 2027 hingga 2029 di Pahang kita ada tiga produk. Jadi selepas dapat pengiktirafan saya percaya dari segi promosi dia akan dimasukkan bahawa produk-produk ini yang diiktiraf di peringkat asean,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapha Haji Long pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

