Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM5 juta bagi pelaksanaan Program Usahawan Makmur 2026 yang merekodkan 1,962 penyertaan dan penerima manfaat sehingga Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, peruntukan berkenaan disalurkan menerusi beberapa komponen utama bagi memperluas peluang pasaran, meningkatkan daya saing serta memperkukuh kapasiti usahawan tempatan.
“Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta bagi pelaksanaan Program Usahawan Makmur Tahun 2026. Peruntukan tersebut diagihkan kepada beberapa komponen utama yang bertujuan memperluas peluang pasaran, meningkatkan daya saing serta memperkukuh kapasiti usahawan tempatan.
“Sehingga Oktober 2026, sebanyak 1,962 penyertaan dan penerima manfaat telah direkodkan melalui pelaksanaan pelbagai komponen Program Usahawan Makmur Tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, YB Tuan Ayub Mat Ashri pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha memperluas pasaran produk tempatan turut dilaksanakan menerusi Karnival Usahawan FELDA dan program Pahang Showcase@Luar Negeri Pahang yang membuka peluang kepada usahawan memperkenalkan produk masing-masing kepada pasaran yang lebih luas.
“Bagi Karnival Usahawan FELDA, seramai 23 usahawan telah terlibat bagi satu wilayah, manakala pelaksanaan bagi baki dua wilayah lagi turut dijadualkan.
“Program Pahang Showcase @Luar Negeri Pahang pula telah melibatkan penyertaan seramai 70 usahawan, dengan baki dua lokasi lagi dijadualkan untuk dilaksanakan,” katanya.
Dalam aspek peningkatan kualiti dan daya saing produk, Kerajaan Negeri turut meneruskan SIRIM Technopreneurship Program (STeP) Siri 2 sebagai kesinambungan daripada pelaksanaan program sama pada 2025 yang melibatkan 42 usahawan.
“Bagi Siri 2 tahun 2026, seramai 42 usahawan dipilih daripada 101 permohonan untuk mengikuti program peningkatan keupayaan berkaitan pensijilan halal serta pembangunan pembungkusan dan pelabelan produk mengikut Akta Makanan,” katanya.
Sementara itu, menjawab pertanyaan berkaitan manfaat yang diterima usahawan di DUN Sungai Lembing, beliau berkata, empat daripada keseluruhan 132 penerima Geran Usahawan Makmur di negeri ini merupakan usahawan dari kawasan berkenaan.
Katanya, kesemua empat penerima berkenaan menjalankan perniagaan dalam bidang makanan dan minuman. -PAHANGMEDIA

