Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Liputan internet mudah alih 4G di kawasan berpenduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tras kini mencapai 99.97 peratus, hasil usaha berterusan Kerajaan Negeri bersama Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memperkukuh infrastruktur telekomunikasi, khususnya di kawasan luar bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, sebanyak lima infrastruktur pemancar baharu dan 50 stesen pemancar yang dinaik taraf telah beroperasi sepenuhnya di kawasan berkenaan.
“Liputan internet mudah alih 4G di DUN Tras bagi kawasan berpenduduk telah mencapai 99.97 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, YB Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 11,811 sambungan jalur lebar tetap ke premis turut direkodkan beroperasi di DUN Tras.
Bagi memperluas akses rangkaian, Kerajaan Negeri turut meminta MCMC menyegerakan penyediaan perkhidmatan lima syarikat telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile dan Yes 5G di setiap menara telekomunikasi di Pahang.
Bagaimanapun, pencapaian liputan 4G itu berdasarkan pendekatan komposit, iaitu sesuatu kawasan dikategorikan mempunyai liputan sekiranya sekurang-kurangnya satu penyedia perkhidmatan telekomunikasi menawarkan rangkaian 4G di kawasan berkenaan.
Dalam memastikan mutu perkhidmatan telekomunikasi memenuhi piawaian ditetapkan, sebanyak 20 audit standard mandatori kualiti perkhidmatan telah dilaksanakan oleh MCMC di DUN Tras sepanjang tahun ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 12 notis pematuhan dikeluarkan kepada penyedia perkhidmatan di beberapa lokasi yang dikenal pasti tidak memenuhi piawaian ditetapkan.
Semua penyedia perkhidmatan terlibat telah mengemukakan pelan tindakan dan sedang melaksanakan langkah penambahbaikan termasuk pengoptimuman rangkaian, peningkatan kapasiti, naik taraf teknologi, penambahan stesen pemancar serta perluasan liputan 5G.
Kerajaan Negeri turut mengakui masih terdapat aduan berhubung kualiti perkhidmatan di beberapa kawasan dan akan terus bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi memastikan penambahbaikan dilaksanakan.
Menjawab soalan tambahan mengenai penggunaan peralatan penerima isyarat sementara seperti penguat isyarat mudah alih dan penghala 5G, beliau memaklumkan MCMC mempunyai inisiatif berkenaan yang dilaksanakan berdasarkan keperluan kawasan tertentu.
Antara kawasan yang telah menerima manfaat inisiatif sementara itu ialah DUN Tahan, khususnya berhampiran Kampung Bantal dan Kampung Mat Daling.
Selain itu, MCMC kini berada pada peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2.0 yang melibatkan pembinaan menara telekomunikasi baharu bagi memperkukuh liputan rangkaian dalam jangka panjang.
Kerajaan Negeri juga bersedia memperhalusi cadangan penggunaan kemudahan sementara di kawasan yang memerlukan bagi mempercepat penyediaan perkhidmatan komunikasi kepada penduduk.
“Kerajaan negeri bersedia memperhalusi cadangan-cadangan tersebut sekiranya terdapat keperluan seperti yang dibangkitkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

