Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Sebanyak empat balai bomba baharu diluluskan untuk dibina di Pahang menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memperluas liputan perkhidmatan kebombaan serta meningkatkan kecekapan tindak balas kecemasan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, empat projek berkenaan melibatkan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Benta, Tioman, Tanjung Lumpur atau Kempadang serta Gambang.
“Di bawah pelaksanaan RMK-13, Jabatan Bomba telah menerima kelulusan dan peruntukan bagi membina beberapa buah balai bomba baharu, iaitu Balai Bomba Benta, Balai Bomba Tioman, Balai Bomba Tanjung Lumpur ataupun Kempadang dan juga Balai Bomba Gambang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, YB Dato’ Haji Rosli Abdul Jabar pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan dijadualkan bermula menerusi Rolling Plan Kedua (RP2) RMK-13 dengan tempoh pembinaan dianggarkan mengambil masa 30 bulan dari tarikh pemilikan tapak.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak enam balai bomba baharu telah beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh 2016 hingga 2025, melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Chenor, Kuala Tahan, Kuala Krau, Sungai Koyan, Balai Bomba Sementara Pulau Tioman serta Sungai Lembing.
Sementara itu, pembinaan Balai Bomba Gohtong Jaya sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.
Beliau berkata, perancangan pembinaan balai bomba baharu dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh dengan mengambil kira tahap risiko kebakaran, kepesatan pembangunan, kepadatan penduduk, kedudukan geografi serta jarak dan masa tindak balas pasukan bomba ke lokasi kejadian.
Penilaian itu turut mengambil kira kajian liputan perlindungan kebombaan (fire cover) menerusi pemetaan Smart Map dan analisis risiko bagi menentukan keutamaan pembinaan balai bomba.
“Masa response time (tindak balas) tu mesti sembilan minit 30 saat nak sampai ke tempat yang dalam radius 25 kilometer dengan sasaran pencapaian KPI dia 60 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penubuhan Pasukan Bomba Sukarela turut dipertimbangkan bagi memperluas liputan perkhidmatan kebombaan, khususnya di kawasan yang mempunyai kekangan dari segi masa tindak balas.
“Dan kalau sekiranya keperluan kepada kita nak menubuhkan sukarela ni, boleh kita tubuh. Boleh kita tubuh dan boleh hantar surat permohonan kepada saya ataupun kepada Jabatan Bomba untuk menubuhkan sukarela ni,” katanya.
Menurutnya, pasukan yang diluluskan turut layak menerima bantuan peruntukan dianggarkan sekitar RM20,000, tertakluk kepada kelulusan Jabatan Bomba serta keperluan latihan anggota sukarelawan. -PAHANGMEDIA

