Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM18 juta bagi memperkasakan pembangunan sukan menerusi enam inisiatif utama yang memberi tumpuan kepada penglibatan masyarakat serta pembangunan bakat atlet, khususnya dalam kalangan generasi muda.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 itu merangkumi pembangunan bola sepak, futsal, e-sukan, seni mempertahankan diri serta penganjuran aktiviti sukan komuniti di seluruh negeri.
Menurut beliau, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan bagi Program Larian Rakyat Pahang 1st menerusi penganjuran Fun Run dan Walk A Town With Me di setiap daerah bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kecergasan.
“RM18 juta diperuntukkan bagi pembangunan dan program sukan di seluruh negeri, meliputi RM7.5 juta bagi Program Larian Rakyat Pahang 1st melalui penganjuran Fun Run dan Walk A Town With Me di setiap daerah.
“RM6 juta bagi pembangunan bola sepak dan Liga Bola Sepak Perantau Pahang 1st; RM1 juta bagi pembangunan Soccer Kids; RM1.5 juta bagi Futsal Pahang 1st; RM1 juta bagi E-Sukan Pahang 1st; dan RM1 juta bagi pembangunan Silat Pahang 1st,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan golongan belia terus menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri memandangkan mereka merupakan aset penting dan tenaga penggerak masa depan Pahang.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif yang dirangka bukan sahaja bertujuan menggalakkan penyertaan golongan muda dalam bidang sukan, malah menyediakan ruang untuk mereka mengembangkan potensi dan bakat masing-masing.
“Justeru, Kerajaan Negeri mahu memastikan golongan muda diberikan ruang, peluang dan sokongan untuk mengembangkan bakat, membina kepimpinan serta melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kesukarelawanan dan kemasyarakatan,” katanya.
Peruntukan berkenaan diharap dapat memperluas penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan, di samping memperkukuh pembangunan bakat baharu menerusi pelaksanaan program secara berterusan di seluruh Pahang. -PAHANGMEDIA

