Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Pahang merekodkan kelulusan pelaburan sektor perkilangan berjumlah RM7.58 bilion menerusi 38 projek bagi tempoh Januari 2025 hingga Jun 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pelaburan industri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 25 projek bernilai RM5.90 bilion diluluskan sepanjang 2025, manakala 13 projek lagi dengan nilai pelaburan RM1.68 bilion diluluskan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Menurut beliau, berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan asing terus menjadi penyumbang utama kepada sektor perkilangan negeri.
“Berdasarkan statistik MIDA, Negeri Pahang telah merekodkan kelulusan sebanyak 25 projek perkilangan dengan nilai pelaburan RM5.90 bilion bagi tahun 2025.
“Daripada jumlah tersebut, RM5.09 bilion merupakan pelaburan asing, manakala RM809.7 juta adalah pelaburan domestik.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 pula, sebanyak 13 projek perkilangan bernilai RM1.68 bilion telah diluluskan, melibatkan RM1.03 bilion pelaburan asing dan RM652.2 juta pelaburan domestik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, YB Tuan Hasan Omar pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek perkilangan yang sedang dipantau Kerajaan Negeri dijangka menjana kira-kira 2,000 peluang pekerjaan kepada rakyat, meliputi pelbagai peringkat pelaksanaan projek.
“Dari sudut impak kepada rakyat, projek-projek perkilangan yang sedang dipantau oleh Kerajaan Negeri ini dijangka menjana sebanyak 2,000 peluang pekerjaan.
“Peluang ini merangkumi keperluan tenaga kerja sepanjang fasa pembinaan sehinggalah projek mula beroperasi dan akan diwujudkan secara berperingkat mengikut kemajuan pelaksanaan projek,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata taburan pelaburan berkenaan melibatkan enam daerah iaitu Kuantan, Temerloh, Rompin, Pekan, Lipis dan Bentong, dengan Kuantan merekodkan nilai pelaburan tertinggi.
Katanya, antara sektor industri utama yang terlibat termasuk industri kimia, nadir bumi dan magnet serta makanan dan minuman.
Perkembangan itu mencerminkan potensi sektor perkilangan Pahang dalam menarik pelaburan domestik dan asing, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat seiring dengan kemajuan pelaksanaan projek yang diluluskan. -PAHANGMEDIA

