Oleh: Fauziah Ismail
ROMPIN, 31 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM494,792 bagi memastikan bekalan makanan kering mencukupi untuk penduduk di Pulau Tioman sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Peruntukan itu melibatkan penyediaan 42,024 unit pek makanan kering yang akan diagihkan ke lima Pangkalan Hadapan di pulau berkenaan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gangguan perhubungan laut akibat cuaca buruk.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (JKMN), Encik Khairul Amri Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, RM459,792 diperuntukkan bagi pembelian bekalan makanan kering, manakala RM35,000 lagi untuk kos logistik, pengangkutan dan tenaga kerja penghantaran.
Menurut beliau, peruntukan khusus bagi Pulau Tioman itu merupakan sebahagian daripada RM3,785,115.30 yang diselaraskan JKMN Pahang bagi penyediaan bekalan makanan ke 167 Pangkalan Hadapan di seluruh negeri, melibatkan jumlah muatan sebanyak 225.11 tan.
Bagi Daerah Rompin, sebanyak RM638,782 diperuntukkan untuk 15 Pangkalan Hadapan, dengan RM459,792 atau 76.15 peratus daripada jumlah berkenaan disalurkan khusus bagi keperluan Pulau Tioman.
Sebanyak sembilan jenis barangan keperluan asas disediakan dalam pek makanan kering berkenaan, merangkumi beras, gula, minyak masak, garam, kopi, teh, sardin, kari ayam dan biskut campuran.
Penghantaran bekalan dilaksanakan secara berperingkat selama lima hari bermula 28 Oktober hingga 1 November 2026 menerusi Majlis Pelancaran Penghantaran Barang Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan Pulau Tioman di Jeti Teluk Gading, di sini.
Persediaan awal itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,550 penduduk Pulau Tioman, sekali gus memastikan bekalan makanan asas tersedia sekiranya berlaku bencana atau gangguan pengangkutan laut sepanjang musim tengkujuh.
Langkah berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan dan keperluan asas rakyat, khususnya penduduk di kawasan pulau, terus terpelihara ketika berdepan cabaran Monsun Timur Laut. – PAHANGMEDIA

