Oleh: Nur Saadah Artika
KUANTAN, 26 OKTOBER 2026: Kerajaan Negeri Pahang menyeru lebih ramai usahawan tempatan, termasuk perusahaan milikan tunggal (enterprise), mendaftar dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi membuka peluang mengembangkan perniagaan dan menembusi pasaran antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, peluang menembusi pasaran eksport bukan hanya terbuka kepada syarikat besar, malah turut boleh dimanfaatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang bersedia mengembangkan perniagaan mereka.
“Saya ingin menyeru lebih ramai usahawan di Pahang untuk mengambil peluang mendaftar dengan MATRADE, termasuk usahawan yang menjalankan perniagaan di peringkat enterprise.
“Jangan anggap bahawa peluang untuk menembusi pasaran eksport hanya terbuka kepada syarikat besar. Usahawan kecil juga mempunyai peluang untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa, asalkan bersedia dan mengambil langkah ke arah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Hari Eksport Pahang 2026 di Hotel Grand DarulMakmur, di sini, hari ini.
Menurut beliau, daripada 11,398 syarikat yang berdaftar di bawah Daftar Pengeksport MATRADE atau MATRADE Exporters Registry (MER) di seluruh negara, sebanyak 10,302 syarikat atau 90.3 peratus merupakan PMKS, termasuk 151 syarikat dari Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus menggalakkan dan membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan supaya lebih banyak produk keluaran anak Pahang dapat diperkenalkan dan dipasarkan dengan lebih meluas di peringkat antarabangsa,” katanya. -PAHANGMEDIA

