Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 26 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bakal melaksanakan Program Balai Ngaji Pahang 1st bermula November ini sebagai inisiatif memperluas peluang pembelajaran al-Quran kepada rakyat negeri ini tanpa mengira peringkat umur.
Penyelaras program, Ustaz Muhammad Rizal Dannial berkata, program anjuran bersama Yayasan Pahang dan Balai Ngaji Pahang itu akan dilaksanakan secara berfasa melibatkan 42 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Pahang.
“Program ini akan dilaksanakan di 42 DUN secara berfasa, dengan 11 DUN pada Oktober, 15 DUN pada November dan 16 DUN pada Disember. Program ini terbuka kepada semua warga Pahang tanpa mengira umur,” katanya.
Beliau berkata, sesi pembelajaran akan diadakan dari Isnin hingga Jumaat secara percuma bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang menyertainya tanpa dibebani kos yuran.
Menurutnya, peserta berpeluang mengikuti pembelajaran al-Quran secara berperingkat dengan bimbingan guru berpengalaman, selain memperbaiki dan meningkatkan mutu bacaan masing-masing.
Selain meningkatkan penguasaan bacaan al-Quran, inisiatif itu turut bertujuan membentuk masyarakat yang bertakwa serta berakhlak mulia.
Beliau berharap program berkenaan dapat menggalakkan lebih ramai rakyat mendekati al-Quran dan menjadikan pembelajarannya sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan seharian.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar menerusi kod QR yang disediakan pada poster rasmi Program Balai Ngaji Pahang 1st. -PAHANGMEDIA

