KUANTAN, 26 OKTOBER 2026 : Istana Pahang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan menerusi satu klip video yang tular di platform TikTok kononnya Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkunjung ke Indonesia baru-baru ini bagi menyaksikan satu ritual keagamaan.
Menurut kenyataan Istana Pahang, video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok bernama yayasan.hilmi.fir itu tidak memaparkan sebarang bukti kehadiran Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang seperti yang didakwa.
Sebaliknya, kandungan video berkenaan disifatkan sebagai rekaan dan fitnah yang dipercayai bertujuan menarik perhatian orang ramai menerusi media sosial.
Penafian itu turut dibuat susulan penyebaran mesej kepada orang ramai yang menggunakan nama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang bagi memperdaya masyarakat.
Istana Pahang menegaskan bahawa perbuatan sedemikian merupakan cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan berpotensi menjejaskan imej serta reputasi institusi diraja.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, menyemak kesahihan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak mudah mempercayai atau menyebarkan kandungan yang meragukan di media sosial.
Orang ramai juga diminta agar tidak terpedaya dengan sebarang mesej atau tawaran palsu yang menggunakan nama serta kedudukan institusi diraja untuk kepentingan pihak tertentu. – PAHANG MEDIA

