Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan memperkukuh pembangunan usahawan tempatan menerusi pendekatan 4P yang merangkumi produk, promosi, tenaga manusia dan harga bagi memastikan perniagaan mereka terus berdaya saing serta mampan.
Pendekatan itu memberi tumpuan kepada penambahbaikan kualiti produk, pengukuhan strategi pemasaran, pembangunan kapasiti usahawan serta penetapan harga yang berpatutan dan kompetitif.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, pendekatan berkenaan merupakan antara amanah yang diberikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bagi memperkasa pembangunan usahawan di negeri ini secara lebih menyeluruh.
Katanya, pelaksanaan pendekatan itu akan melibatkan kerjasama semua agensi di bawah Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan bagi melahirkan usahawan yang mampan serta mampu mengekalkan kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.
“YAB Menteri Besar Pahang telah menekankan elemen khusus ini dan kita akan menggabungkan usaha semua agensi, termasuk agensi di bawah Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan, bagi bersama-sama melahirkan usahawan yang mempunyai kelestarian perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Aspirasi Pahang 1st di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran Karnival Aspirasi Pahang 1st turut menjadi platform penting untuk memperluas promosi produk usahawan tempatan ke seluruh daerah di negeri ini, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka terhadap potensi produk yang dihasilkan.
Katanya, kekurangan promosi masih menjadi antara cabaran yang dihadapi usahawan tempatan, justeru penganjuran karnival secara meluas dapat membantu memperkenalkan produk mereka kepada lebih ramai pengguna.
“Karnival Aspirasi Pahang 1st merupakan salah satu elemen penting untuk kita mempromosikan produk usahawan di seluruh daerah.
“Saya melihat usahawan kita masih memerlukan lebih banyak promosi. Melalui platform ini, produk mereka dapat diperkenalkan kepada masyarakat di seluruh negeri dan pada masa sama meningkatkan keyakinan usahawan terhadap produk masing-masing,” katanya.
Mengulas mengenai Program Turun Padang Penasihat Khas kepada Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK), beliau berkata program yang melibatkan kira-kira 200 usahawan itu memberi ruang kepada mereka untuk menyuarakan pandangan, keperluan serta cabaran perniagaan secara langsung kepada YAB Menteri Besar Pahang.
Katanya, beberapa perkara telah dikenal pasti untuk tindakan segera bagi memperkukuh pelaksanaan program pembangunan keusahawanan di negeri ini. -PAHANGMEDIA

