Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 24 OKTOBER 2026 : Program MADANI FELDA 2026 menjadi platform turun padang bagi membolehkan pihak FELDA mendekati masyarakat setempat secara langsung, selain menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif dan pembangunan sosioekonomi yang dilaksanakan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, pendekatan itu penting bagi memastikan masyarakat, khususnya warga FELDA, mendapat penjelasan secara langsung mengenai pelbagai inisiatif, bantuan dan peruntukan yang disediakan untuk manfaat mereka.

“Antara impak yang kita mahu berikan ialah dari segi pengetahuan. Kita kumpulkan agensi-agensi untuk memberikan penerangan secara terus supaya masyarakat FELDA boleh bertemu dan mendapatkan maklumat daripada agensi berkenaan.
“Kita juga mahu memperkenalkan pembangunan sosioekonomi FELDA serta menjelaskan bagaimana peruntukan yang disediakan dimanfaatkan untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang pada Majlis Perasmian Penutup MADANI Kita di Dataran Feldajaya Mempaga hari ini.
Tambah beliau, pendekatan turun padang secara berterusan oleh pihak terlibat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan memberi manfaat secara langsung kepada warga FELDA.
Beliau berkata program selama tiga hari dua malam berkenaan turut menggabungkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk sukan, pengisian untuk golongan muda dan pelajar serta inisiatif membantu golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, penglibatan pelbagai lapisan masyarakat daripada golongan muda hingga warga emas di program berkenaan juga mencerminkan usaha mendekati komuniti secara menyeluruh, selain memastikan manfaat program dapat dirasai peneroka dan generasi seterusnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Bahagian Kawal Selia FELDA (BKSF) dapat meneruskan program seumpama itu serta mempertimbangkan penambahan peruntukan bagi memperluas usaha mendekati masyarakat.

Program bertemakan Memenangi Rakyat, Harapan Rakyat yang berlangsung di Dataran Feldajaya Mempaga ini membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat serta berinteraksi secara terus dengan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri menerusi pembukaan reruai disediakan.
Selain itu, kira-kira 200 mahasiswa daripada Persatuan Mahasiswa Anak FELDA (PESADA) turut dihimpunkan bagi mengikuti pengisian berkaitan FELDA, sekali gus memperkukuh hubungan antara generasi muda dengan komuniti setempat. -PAHANGMEDIA

